Genting Malaysia Berhad terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporatnya apabila menyalurkan sumbangan keperluan asas kepada komuniti asnaf dan golongan B40 di daerah ini, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Inisiatif menerusi program Genting Bersama Malaysia itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Bentong dalam usaha memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran secara tersusun dan berkesan.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut berlangsung di perkarangan Majlis Perbandaran Bentong dan disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Rose Samsul Abdul Razak selaku tetamu kehormat.

Program berkenaan memberi manfaat kepada hampir 100 penerima dalam kalangan asnaf dan B40 sekitar Bentong dengan setiap keluarga menerima barangan keperluan asas bagi membantu persiapan menjelang Aidilfitri.
Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Genting Malaysia, Spencer Lee berkata, program tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong kesejahteraan komuniti setempat.

“Di bawah aspirasi Genting Bersama Malaysia, kami percaya bahawa tanggungjawab korporat bukan sekadar sumbangan semata-mata, tetapi satu komitmen berterusan untuk hadir bersama komuniti ketika mereka memerlukan sokongan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan berteraskan nilai inklusiviti dan kebersamaan menjadi tunjang utama dalam setiap inisiatif kebajikan yang dilaksanakan oleh syarikat itu.
“Genting Malaysia akan terus memperluaskan pelaksanaan program kebajikan dan pembangunan komuniti di seluruh negara, selaras dengan aspirasi untuk memberi impak positif yang berpanjangan kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Rose Samsul turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha berkenaan yang disifatkan memberi impak langsung kepada golongan memerlukan.
“Saya amat menghargai komitmen berterusan Genting Malaysia dalam menyokong komuniti Bentong, khususnya melalui inisiatif yang benar-benar membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama erat antara sektor korporat dan pihak berkuasa tempatan amat penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus diperkukuh, terutama sepanjang bulan Ramadan.
“Sinergi seperti ini mampu memperluas jaringan sokongan sosial sekali gus memastikan bantuan diagihkan secara lebih efektif dan menyeluruh,” katanya.









